SEKAPUR SIREH : NAZIR MASJID


Assalamualaikum


Terlebih dahulu, marilah kita hadiahkan Al-Fatihah buat Nabi Muhammad, ahli keluarga, para sahabat dan sekelian umat baginda.


Saya selaku nazir Masjid Umariah (Lama) mengalu-alukan kunjungan tuan-tuan dan puan-puan ke halaman blog masjid ini. Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepada kita semua untuk terus berpegang teguh kepada tali NYA, dan tidak berpecah belah.


Secara ringkas, masjid ini telah dirasmikan oleh Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah (Sultan Selangor) pada tahun 1963. Tanah masjid ini telah di wakafkan oleh Allahyarham Tuan Haji Umar dan semoga Allah memberikan sebaik-baik ganjaran kepadanya atas budi baik dan sedekah jariah beliau. Di dalam lipatan sejarah, masjid ini telah didirikan atas dasar taqwa maka terdapat kekeramatan pada masjid ini yang kurang diketahui oleh orang ramai. Terdapat satu ruang di dalam masjid ini di mana apabila seseorang yang di dalam keadaan darurat dan berhajat, dengan hanya solat sunat hajat 2 rakaat, maka hajatnya akan segera dimakbulkan oleh Allah (Insya Allah).


Selain dari itu, masjid ini tiada bezanya dengan masjid-masjid lain di Negeri Selangor. Dari segi kejuruteraan, masjid ini masih mampu berdiri teguh dan bersedia untuk diimarahkan. Dari segi kewangan, masjid ini agak daif dengan tiadanya kutipan khusus selain sumbangan orang ramai dan bantuan dari Kerajaan Negeri. Ini adalah disebabkan kerana, masjid ini telah ditinggalkan oleh jemaah, lantaran siapnya sebuah masjid baru. Oleh yang demikian, solat Jumaat tidak lagi didirikan di sini selain solat Fardhu. Inisiatif dari bekas Imam Masjid ini Yg Bhg. Tuan Haji Abdullah Suknadi dan sokongan sebahagian orang kampung Perepat, masjid ini yang mahu diturunkan statusnya menjadi surau, telah dikekalkan sebagai sebuah masjid. Ini berikutan beberapa pertemuan dan perundingan dengan YB Dato' Dr. Hasan Ali selaku EXCO Kerajaan Negeri, yang telah banyak memberikan kerjasama bagi menyelesaikan kemelut ini. Juga tidak kurang, kerjasama dari pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor peringkat Negeri dan Daerah Klang. Saya bagi pihak yang mahukan masjid ini dikekalkan, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih. Sememangnya mudah membina masjid dan yang susah ialah memakmurkan masjid tersebut. Semoga Allah membalas dengan balasan yang seadil-adilnya.


Saya bersama sekelian jemaah di Qariah jalan Masjid (termasuk golongan muhajirin dari Taman Sungai Kapar Indah) juga penduduk Kampung Perepat umumnya berdoa, semoga Allah melindungi masjid ini dan terus berdiri sebagai sebuah masjid sehingga Hari Qiamat, sebagaimana Allah melindungi Ka'abah dari tentera Abrahah. Semoga Allah memakbulkan doa kami sebagaimana Allah memakbulkan doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.


Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sekelian ahli qariah yang telah turut sama memperjuangkan masjid ini samada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Juga terima kasih yang tidak terhingga kepada yang telah menyumbangkan masa, tenaga, kewangan dan sebagainya demi memperjuangkan masjid ini. Saya juga mengalu-alukan sinambungan sumbangan dari sekelian yang singgah ke blog Masjid Umariah (Lama) samada idea, tenaga, kewangan, harta atau apa-apa juga yang munasabah bagi kelangsungan dan kemakmuran masjid keramat ini. Sumbangan boleh dihulur melalui AJK Masjid atau ke akaun bank masjid (CIMB : 1222 000 7132 05 7). Semoga Allah memberikan keampunan kepada kita semua dari lautan keampunan dan kasih sayang Nya yang maha luas.


Sekian, terima kasih.


Assalamualaikum warahmatullah.


Mohd Miftahuddin Bin Abdullah